Saturday, 2 December 2017

KONSEP SIYASAH SYAR`IYYAH DAN PELAKSANAANNYA DALAM KONTEKS MALAYSIA

Pendahuluan Sistem politik adalah sebahagian daripada Islam yang syumul, namun begitu sistem politik yang berasaskan kepada syarak adalah berbeza dengan sistem politik masa kini yang berasaskan kepada fahaman sekular. Pendedahan kepada sistem politik Islam merupakan suatu perkara asas kepada masyarakat ke arah memahami hakikat pemerintahan Islam. Politik Islam dalam istilah fuqaha ialah siyasah syariyyah. Perkataan siyasah pada penggunaannya di sudut bahasa bermaksud mentadbir sesuatu perkara dengan baik atau pemerintah mentadbir urusan rakyat (Mu‟jam al-Wajiz: 1980). Para fuqaha pula mentakrifkannya sebagai tindakan pemerintah terhadap sesuatu perkara kerana suatu kemaslahatan walaupun tindakan itu tidak mempunyai dalil pada juzuknya (Abdul Wahab Khallaf: 1982, hal. 18) atau dengan kata lain menguruskan kemaslahatan manusia dengan mengikut ketentuan syarak.
  penggunaan biasanya diertikan sebagai jalan yang lurus, tempat keluar sesuatu dan jalan ke tempat air minum. Kaitan perkataan syariah dari segi bahasa menunjukkan kepada kita bahawa kewujudan air adalah penghubung kepada penerusan hayat manusia. Begitu juga jalan yang lurus adalah sesuatu yang membawa manusia ke arah kebaikan. Perkataan Syari`ah juga digunakan di dalam alQuran dalam banyak ayat, antaranya ada yang bermaksud sebagai peraturan hidup yang terkandung dalam suruhan dan larangan dan ada juga yang bermaksud seluruh ajaran agama yang merangkumi aspek keimanan, perundangan dan akhlak. Manakala Syari`at Islam ialah seluruh apa yang disyari`atkan oleh Allah di dalam agama sama ada dengan wahyu atau dengan sunnah Rasulullah SAW. Ianya termasuklah perkara-perkara yang berkaitan dengan persoalan akidah dan keimanan, akhlak-akhlak yang mulia dalam perhubungan sesama anggota masyarakat dan hukum-hukum Allah yang berkaitan dengan perbuatan para mukallaf sama ada halal, haram, wajib, sunat dan harus yang dikenali sebagai fiqh dan juga perundangan Islam (Muhammad Yusuf Musa: 1996). Rasulullah SAW sendiri menggunakan kata politik (siyasah) dalam sabdanya yang bermaksud: "Adalah Bani Israil, mereka diurusi (siyasah) urusannya oleh para nabi (tasusuhum al-anbiya). Ketika seorang nabi wafat, nabi yang lain datang menggantinya. Tidak ada nabi setelahku, namun akan ada banyak para khalifah." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim) Jelaslah bahawa politik atau siyasah itu bermaksud mengurusi urusan masyarakat. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Siapa saja yang bangun di pagi hari dan dia hanya memperhatikan urusan dunianya, maka orang tersebut tidak berguna apa-apa di sisi Allah; dan barang siapa yang tidak memperhatikan urusan kaum Muslimin, maka dia tidak termasuk golongan mereka (iaitu kaum Muslim).” (Hadis Riwayat Thabrani) Kebanyakan ulama mendefinasikan pengertian siyasah dengan definasi yang tidak lari daripada kedua-dua takrifan di atas. Oleh itu ilmu siyasah syar`iyyah ialah ilmu yang membincangkan mengenai pentadbiran sebuah kerajaan Islam yang terdiri daripada undangundang dan sistem yang berasaskan kepada asas-asas Islam atau sebagaimana pernyataan Abdul Wahab Khallaf iaitu mentadbir urusan umum bagi daulah Islamiah dengan perkara yang membawa kebaikan kepada manusia dan mengelakkan kemudaratan daripada mereka dengan tidak melanggar sempadan syarak dan asas-asas kulliyyah walaupun dalam perkara yang tidak disepakati oleh ulama mujtahidin. Kandungan perbincangan siyasah syar`iyyah ialah sistem, peraturan dan undangundang yang diperlukan dalam urusan sesebuah negara yang bertepatan dengan asas-asas agama dan dapat mencapai kemaslahatan kepada manusia dan menunaikan segala keperluan mereka. Perbincangan ulama-ulama silam mengenai siyasah syar`iyyah dalam kitab-kitab mereka adalah bertujuan untuk menjelaskan kepada pemerintah ketika itu khususnya dan kepada ummah amnya mengenai ilmu-ilmu pentadbiran Islam sebagaimana Abu Yusuf menulis kitab al-Kharaj, al-Juwaini menulis kitab al-Ghiyasi, Ghiyas al Umam Fi Tayas Ahl al-Dzalam, al-Mawardi menulis kitab al-Ahkam al-Sultaniyyah, Ibn Taimiyyah menulis Siyasah Syar`iyyah Fi Ra`i wa al-Ra`iyyah, Ibn Qayyim menulis kitab Turuk al-Hukmiyyah, Ibn Jamaah menulis kitab Tahrir al-Ahkam Fi Tadbir Ahl al-Islam dan begitu juga ulama mutakhir seperti Abdul Wahhab Khallaf menulis kitab Siyasah Syar`iyyah Fi Syu‟un AlDusturiyah wa al-Kharijiah wa al-Maliyah. Perbezaan corak penulisan ulama silam dan penulisan ulama mutakhir ialah pendekatan ulama silam lebih detail sebaliknya penulisan ulama mutakhir lebih kepada menjadi pengantar dan menonjolkan fakta sejarah dengan menekankan bahawa siyasah syar`iyyah boleh dilaksanakan dan perlu dijadikan asas pemerintahan yang adil di sepanjang masa. Definasi Siyasah Syar`iyyah Menurut Istilah Para fuqaha mentakrifkan siyasah syar`iyyah sebagai tindakan pemerintah terhadap sesuatu perkara kerana mendapatkan suatu kemaslahatan walaupun tindakan itu tidak mempunyai dalil pada juzuknya. Dalam penakrifan lain mereka berkata menguruskan kemaslahatan manusia dengan mengikut ketentuan syarak. Kebanyakan tulisan yang berkaitan dengan siyasah syar`iyyah mendefinasikan pengertian siyasah dengan definasi yang berkisar di atas kedua-dua takrif tersebut. Siyasah syar`iyyah ialah ilmu yang membincangkan mengenai pentadbiran sesebuah kerajaan Islam yang terdiri daripada undang-undang dan sistem yang berasaskan kepada asas-asas Islam atau mentadbir urusan umum daulah Islamiah dengan cara yang membawa kebaikan kepada manusia dan mengelakkan mereka daripada kemudharatan, tanpa melanggar sempadan syarak dan asas-asas kulliyyah walaupun dalam perkara yang tidak disepakati oleh ulama mujtahidin (Abdul Wahab Khallaf: 1982). Oleh itu topik perbincangan siyasah syar`iyyah di kalangan para fuqaha ialah sistem, peraturan dan undang-undang yang diperlukan di dalam mengurus sesebuah negara bertepatan dengan asas-asas agama bagi menjamin pencapaian kemaslahatan kepada manusia, menunaikan segala keperluan mereka dan menjauhkan mereka daripada kemudaratan dunia dan akhirat.
Konsep Siyasah Syar’iyyah Secara umumnya manusia adalah makhluk yang hidup bermasyarakat secara semula jadi. Kepimpinan politik adalah satu yang dharuri dalam apa sistem sekalipun, demi menjaga kestabilan, keamanan dan kelangsungan hidup manusia di atas muka bumi. Ini kerana secara semula jadinya, manusia suka bercakaran antara satu sama lain. Orang yang kuat akan menindas orang yang lemah dan begitulah seterusnya. Siyasah dalam Islam terbina atas tujuan menjaga kemaslahatan hidup manusia berasaskan syariat. Ada pemerintahan yang diatur secara tabe‟i dan ada yang berpandukan manhaj ilmu. Manakala yang berpandukan syarak dinamakan siyasah syar‟iyyah. Ini dijelaskan lagi berdasarkan pendapat sarjana Islam berikut. 1) Menurut Ibn Khaldun (meninggal 808 H) Siyasah syar‟iyyah adalah satu mekanisme untuk menjalankan pentadbiran negara dan pelaksanaan hukum-hukum, merancang dan meminda peraturan dan undang-undangnya (Ibn Khaldun: tt, hal. 302-311). Bagi melaksanakan siyasah syar‟iyyah ini, Ibn Khaldun menyatakan dua kaedah yang perlu digunakan. Pertama, dinamakan siyasah diniyyah (agama) untuk kebaikan dunia dan akhirat bersandarkan kepada prinsip-prinsip dan ketentuan syariat yang diturunkan Allah di mana ia wajib dipatuhi dan ditaati tanpa dipersoalkan berdasarkan kepada konsep keimanan dan pembalasan di akhirat kelak. Kedua, bersandarkan kepada kekuatan akal (siyasah aqliyyah) yang juga wajib dipatuhi. Kewajiban mematuhi siyasah akal ini kerana tindakan, keputusan dan dasar yang diambil melalui kaedah ini tetap berpandu kepada kepentingan dan kemaslahatan masyarakat seluruhnya. Ibnu Khaldun berpendapat kerajaan atau al-mulk bertanggungjawab menanggung semua manusia mengikut kehendak tujuan dan nafsu, dan kerajaan siyasi atau politik, menanggung semua manusia mengikut kehendak pandangan akal dalam membawa kemaslahatan dunia dan menolak kemudharatan. Oleh sebab itu, khilafah ialah menanggung semua manusia mengikut kehendak pandangan syarak untuk mendatangkan kemaslahatan akhirat dan dunia yang kembali kepadanya iaitu mengawal agama dan menyusun urusan dunia dengannya. Ibn Khaldun juga berhujah bahawa kerajaan yang berasaskan kepada ketentuan syariat akan menzahirkan tuntutan sosial masyarakat yang harmonis, sejahtera dan berkeadilan sebagaimana yang menjadi tujuan syariat itu diturunkan. Sedangkan bagi pemerintah atau Sultan yang mengabaikan syariat sebagai sistem politiknya, maka kehidupan masyarakat dan negara terancam dengan kehidupan yang tidak stabil, keharmonian antara puak dan golongan sentiasa menjadi sesuatu yang menakutkan dan menjadi bom jangka yang pada bila-bila masa boleh meletup, kekerasan dan paksaan menjadi santapan rutin masyarakat dan memberi kesan negatif lain. Ini kerana kerajaan yang tidak menerapkan syariah sebagai tunggak utama pemerintahan, maka ia hanya lebih banyak memberi faedah kepada pemimpin tertentu dibanding membela rakyatnya dan mengutamakan kepentingan awam lainnya. Oleh sebab itu, Ibn Khaldun berpendapat siyasah syar‟iyyah sebagai peraturan-peraturan kerajaan yang selaras dengan ketentuan syariat dan apapun peraturan yang dijalankan kepada masyarakat yang dapat memenuhi kehendak syariah Islamiyyah. 2) Menurut Ibn Abidin (meninggal 1252 H) Beliau mendefinasikan siyasah syar‟yiyah sebagai satu mekanisme yang mempunyai visi dan misi untuk membaiki keadaan rakyat dengan cara membimbing mereka ke jalan yang selamat di dunia dan akhirat (Ibn Abidin: 1992, hal: 15). Dalam hal ini, Ibn Abidin lebih menitikberatkan pengertian siyasah syar‟iyyah kepada implementasi hukum syariah. Peraturan dan undang-undang yang diciptakan bertujuan untuk menciptakan masyarakat yang harmoni dan stabil. Oleh sebab itu, penggunaan takrif siyasah dalam pengertian Ibn Abidin adalah menjadikan hukum Islam sebagai sumber primier hukum agar keadilan dapat ditegakkan tanpa mengambil kira latar belakang status sosial seseorang. Hal ini termasuk memberikan hukuman yang berat termasuk hukuman mati kepada pelaku jenayah yang bertujuan untuk menimbulkan rasa insaf di kalangan pelakunya. Seni memerintah, ketelitian, kecermatan dan kecerdikan dalam membuat dasar-dasar kerajaan dan kepentingan masyarakat umum yang mana semuanya dipandu dengan ketentuan syariat dan menekankan pentingnya aspek maqasid al-syariah merupakan intipati daripada pemikiran dan teori yang dikemukakan oleh Muhammad Naim Yasin (Shukeri Mohammad: 2011). Teori ini juga diperkukuh dengan penjelasan al-Atwah yang menambahkan bahawa konsep siyasah syar‟iyyah hanya berkisar di dalam wilayah ijtihad sahaja.
Di dalam usul fiqh ia dikenali dengan istilah dalil yang diperdebatkan (zanni aldalalah). Sedangkan bagi perkara-perkara yang sifatnya prinsip dan sudah pasti (qat`i aldalalah), penggunaan siyasah dalam perkara ini tidak dibenarkan lagi. Dalam istilah alAtwah, siyasah syar‟iyyah adalah tindakan yang diambil oleh kerajaan berdasarkan maslahah dalam perkara-perkara yang tidak dijelaskan oleh nas secara langsung dan dalam perkaraperkara yang sentiasa berubah-ubah mengikut perubahan waktu, tempat dan keperluan manusia (Abdul al- Al Atwah: 1993, hal. 44). 3) Menurut Imam Haramain Beliau berpendapat imamah sebagai ketua atau pemimpin yang merangkumi tanggungjawab khusus dan juga umum dalam urusan agama dan dunia. Tugasnya ialah menjaga sempadan dan mengurus rakyat, menegakkan dakwah dengan hujjah dan pedang, menghalang penyelewengan dan kezaliman, membela orang yang dizalimi daripada orang yang zalim, mendapatkan hak-hak daripada mereka yang enggan dan menunaikannya kepada orang yang berhak. Apa yang dituntut oleh syariat daripada makhluk ialah berpegang dengan agama, takwa, berpaut dengan amalan yang menghampirkan diri kepada Allah, bekerja keras untuk mencari redha Allah, bercukupan dengan dunia, mengelak dari ajakan hawa nafsu dan menghindarkan diri dari jalan dosa. Menurut al-Haramain, kebanyakan manusia tidak pernah terhalang dari terjerumus ke lembah hawa nafsu dengan semata-mata janji syurga atau neraka, dorongan dan ancaman, lalu Allah s.w.t memberi mandat kepada sultan dan pemimpin untuk menghalang supaya hakhak dapat dipenuhi, habuan disampaikan kepada empunyanya, mencegah orang yang menceroboh, menyokong orang yang adil, mengukuhkan binaan rasional, menghapus segala bentuk pelampauan dan kerosakan, lalu teraturlah urusan dunia dan dengan itu tercapailah maksud agama. 4) Menurut Yusuf al-Qardawi Beliau mendefinisikan siyasah syar‟iyyah sebagai sistem politik yang menjadikan syariat sebagai teras, kembali dan bersandar kepadanya, mengaplikasikannya di muka bumi, melaksanakan ajaran-ajaran dan prinsipnya di tengah masyarakat, sekaligus sebagai matlamat dan sasaran sistem dan tatacaranya. Tujuannya berdasarkan syariat dan sistem yang dianut berdasarkan syariat (Yusuf al-Qardawi: 1999, hal. 33). Pandangan Yusuf al-Qardawi merupakan reaksi dan perbezaan pandangan pemikiran sekuler dan liberal yang banyak dilaksanakan di dunia Islam belakangan ini. Beliau sama sekali menolak cara dan sistem negara yang didasarkan kepada sistem yang memisahkan syariat di dalam menjalankan pentadbirannya. Oleh sebab itu, tidak ada tolak ansur dalam hal pengertian tentang istilah politik selain dalam perspektif syariah sebagai acuan utamanya. Kritik keras yang dilontarkan oleh Yusuf al-Qardawi terutama dihalakan kepada pengertian politik yang digagaskan oleh Machiavelli. Pengertian dan falsafah politik Machiavelli yang bertunjangkan kepada penyingkiran moral dan menghalalkan segala cara bagi mencapai tujuan politiknya. Kaedah mengadu domba, berdusta, menebar fitnah, pembunuhan karakter, menganiaya, mengancam, menyingkirkan dan sampai kepada pembunuhan lawan-lawan politiknya merupakan norma yang biasa dalam politik yang tidak menyertakan elemenelemen syari‟ah dalam amalan politik.
Daripada beberapa pandangan yang diberikan oleh ulama dan pemikir Islam tentang siyasah syar‟iyyah dapat difahami bahawa kerajaan di samping memiliki kekuasaan untuk menerapkan hukum Allah, ia juga memiliki autoriti untuk membuat pelbagai peraturan hukum berkaitan dengan perkara yang tidak diatur syariah secara eksplisit dan terperinci. Kuasa untuk menetapkan hukum syarak adalah hak Allah. Dia adalah pencipta manusia dan pembuat syariah. Pernyataan eksplisit al-Qur‟an banyak yang global (mujmal). Ia juga boleh dilihat sebagai respon perundangan terhadap kehidupan manusia yang sentiasa dinamik. Sementara penjelasan al-hadith yang berkaitan dengan masalah politik dan kenegaraan sangat berkait dengan situasi zaman, lingkungan dan keadaan sosial tertentu. Dengan demikian, diperlukan ijtihad sebagai penjelasan lebih lanjut terhadap tuntutan nas dan sebagai jawapan terhadap pelbagai persoalan yang secara langsung belum tersentuh oleh kedua sumber hukum utama tersebut. Pandangan Orientalis Barat tentang Politik Islam 1. Dr. V. Fitzgerald berkata : "Islam bukanlah semata agama (a religion), namun ia juga merupakan sebuah sistem politik (a political system). Meskipun pada dekad-dekad terakhir ada beberapa kalangan dari umat Islam, yang mendakwa diri mereka sebagai kalangan 'modernis', yang berusaha memisahkan kedua sisi itu, namun seluruh gagasan pemikiran Islam dibangun di atas fundamental bahawa kedua sisi itu saling bergandingan dengan selaras, yang tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain" (Muhammedan Law", Bab I, hal. 1). 2. Prof. C. A. Nallino berkata : "Muhammad telah membangun dalam waktu bersamaan: agama (a religion) dan negara (a state) dan batas-batas wilayah negara yang ia bangun itu terus terjaga sepanjang hayatnya” (Sir. T. Arnold: hal. 198). 3. Dr. Schacht berkata : "Islam lebih dari sekadar agama, ia juga mencerminkan teoriteori perundangan dan politik. Dalam ungkapan yang lebih sederhana, ia merupakan sistem peradaban yang lengkap, yang mencakup agama dan negara secara bersamaan" (Encyclopedia of Social Sciences, Bab VIII, hal. 333) Tujuan Siyasah Syar`iyyah Pemerintahan hanyalah wasilah bukannya matlamat iaitu wasilah untuk menegakkan perintah Allah dan melaksanakan amanahNya bagi membawa rahmat ke seluruh alam. Sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Dan tidak Kami utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk membawa rahmat ke seluruh alam.” (Al-Anbia‟: 107) Firman Allah yang bermaksud: “Mereka yang Kami berikan kekuasaan di muka bumi, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menyuruh kepada makruf dan mencegah daripada mungkar dan kepada Allah kembali segala urusan.” (Al-Haj: 41) Tujuan siyasah syar`iyyah ialah untuk melaksanakan maqasid al-syariah iaitu yang terkandung di dalam perkara yang berkaitan dengan „jalb al-masalih‟ (mendapatkan kemaslahatan kepada manusia) dan „dar‟ al-mafasid‟ (menghilangkan kemudaratan daripada mereka). Maqasid al-syariah adalah tujuan Allah menurunkan Syariat Islam kepada manusia bagi menjaga agama, jiwa, akal, nasab dan harta. Syariat Islam tidak akan dapat disampaikan dan ditegakkan dalam kehidupan manusia melainkan dengan kuasa pemerintahan,  terutamanya perkara yang berkaitan dengan pelaksanaan undang-undang dan sistem hidup dalam seluruh aspek kehidupan manusia. Siyasah Syar`iyyah di Alam Melayu Siyasah syar`iyyah di Alam Melayu atau nusantara bermula sejak kedatangan Islam di Melaka. Sejarah Melayu menyatakan bahawa Islam telah sampai ke puncak kegemilangannya di Melaka pada abad ke-15 Masihi, khususnya selepas tahun 1414 Masihi apabila rajanya memeluk Islam dan menamakan dirinya sebagai Megat Iskandar Shah (W.G.Shellabear, 1950: 63). Lazimnya apabila raja memeluk Islam, rakyat seluruhnya akan mengikuti jejak baginda. Namun pendapat ini disangkal oleh Syed Hussein al-Attas yang mengatakan pengislaman beramai-ramai di Melaka bermula dari rakyat kepada rajanya (Syed Hussein al-Attas, 1964: 23). Walau bagaimanapun pendapat ini ada kebenarannya sebagaimana yang berlaku di Kedah, di mana Islam telah sampai di negeri itu sejak abad ke- 9 Masihi lagi, tetapi pemerintahnya baru memeluk Islam dalam tahun 1474 Masihi (C.C.Brown, 1970: 73). Seterusnya apabila mantap kedudukan kerajaan Islam Melaka khususnya di bawah pemerintahan Sultan Mansur Shah (1459-1477M), Islam telah dikembangkan ke negeri-negeri jajahannya iaitu Bengkalis, Pulau Karimon, Bentan, Kampar, Siak, Aru, Inderagiri, Rokan dan Johor (M.A.Rauf, 1964:78). Maka dengan itu jadilah Melaka sebuah empayar Islam pada tahun 1459 Masihi (D.G.E.Hall, 1964: 213). Hal ini berlaku selepas Melaka mengadakan hubungan baik dengan Cina bagi mendapatkan perlindungan dari serangan Siam. Fakta sejarah Kesultanan Melayu Melaka yang digunakan sebagai bahan buku-buku teks mungkin terpaksa diubah berikutan penemuan terbaru penyelidik tempatan bahawa kerajaan tersebut yang menjadi asas kepada pembentukan negeri-negeri Melayu lain telah dibuka pada tahun 1262 dan bukan pada tahun 1400. Penyelidik-penyelidik yang berusaha mengumpul bukti dan menemukan fakta baru yang secara langsung akan mengubah banyak peristiwa dan sejarah yang sedia ada. Sememangnya banyak peristiwa serta sejarah yang diberitakan serta ditulis, mempunyai keraguan dan pertindihan tarikh dan masa seperti Kerajaan Melayu Benua Siam Islam dengan Melaka. Begitu juga sejarah Hang Tuah yang banyak mempunyai versinya tersendiri menerusi Hikayat serta catatan sejarah yang ditulis. Menurut sumber Kosmo bertarikh 1 Jun 2010, zaman Kesultanan Melaka yang diasaskan oleh Parameswara wujud dalam 30 tahun lebih awal daripada kerajaan Majapahit di pulau Jawa yang diasaskan pada tahun 1292 sebelum kedua-duanya bersaing menguasai rantau Nusantara. Penemuan yang diperakukan oleh 9 penyelidik tempatan yang dilantik kerajaan negeri Melaka sekaligus menolak tarikh yang diumumkan sebelum ini iaitu tahun 1278. “Setakat ini mereka yakin bahawa tarikh kerajaan Melayu Melaka diasaskan ialah pada tahun 1262 iaitu 138 tahun lebih awal tetapi jika ada pihak lain yang menemui bukti baru, sila berikan bukti,” demikian kata Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam menerusi akhbar Kosmo selepas merasmikan Seminar Tahun Pengasasan Kerajaan Melayu Melaka di Melaka. Pada April 2010 lalu, sekumpulan penyelidik merumuskan sejarah penubuhan kerajaan Melayu Melaka diasaskan pada tahun 1278 tetapi kali ini tarikhnya berubah kepada lebih awal iaitu 1262 dan bukannya pada tahun 1400 yang menjadi sumber rujukan selama ini. “Keputusan ini diputuskan oleh sepasukan penyelidik yang dilantik kerajaan negeri menerusi kerjasama Institut Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP). Setakat ini keputusan adalah muktamad ekoran hasil kajian penyelidik sejak tahun 2009 yang sepakat menolak pendapat penulis-penulis terdahulu. Tarikh 1400 dan 1278 yang dikemukakan tidak mempunyai ciri fakta yang kukuh sebagai tahun sebenar penubuhan kerajaan Melayu Melaka kerana tahun itu diperolehi daripada andaian dan tujuan penulisan berdasarkan sumber-sumber yang ada,” menurut Datuk Mohd. Ali Rustam lagi. Berdasarkan tulisan Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin) versi Raja Bongsu, kerajaan Melayu Melaka telah diasaskan pada tahun 660 Hijrah bersamaan tahun 1262. Ini secara langsung menolak kesepakatan sarjana Barat sebelum ini termasuk dari Portugal kerana bukan berdasarkan fakta sejarah. Fakta Barat diambil dari Suma Oriental yang ditulis oleh Tom Pires pada tahun 1512-1515 hanya berdasarkan pengumpulan maklumat menggunakan kaedah dengar cakap. Menurut Datuk Mohd. Ali Rustam, keputusan yang diperolehi akan dimasukkan ke dalam jurnal tempatan dan antarabangsa. Kajian yang dilakukan oleh penyelidik adalah berdasarkan sumber bertulis, artifak dan lisan serta penyelidikan yang dijalankan di Malaysia dan di Indonesia. Antara tempat yang dilawati penyelidik termasuklah Kepulauan Riau, Pulau Penyengat, Pulau Singkep, Pulau Lingga, Sumatera Selatan iaitu di Jambi dan Palembang serta Padang dan Batu Sangkar di Sumatera Barat. Menurut Pakar Sejarah, Prof Emiratus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim, “Penemuan tarikh baru ini tidak boleh dianggap muktamad kerana sejarah memang selalu dikaji semula setiap kali terdapat penemuan baru. Ia tidak boleh bergantung pada sumber di dalam negara sahaja kerana ia melibatkan sumber-sumber negara lain yang terlibat,” kata beliau lagi. Begitu juga Melaka telah berjaya menarik perhatian ulama-ulama dari luar untuk menjadikan negeri itu sebagai pusat perkembangan dakwah Islamiyah di rantau ini. Peranan yang dulunya dimainkan oleh kerajaan Samudera-Pasai kini telah diambil alih oleh Melaka. Misalnya dalam masa pemerintahan Sultan Mansur Shah (1459-1477M), telah datang seorang ulama dari Mekah yang bernama Maulana Abu Bakar (W.G. Shellabear, 1950: 115). Beliau telah membawa Kitab “Dur al-Manzum” karangan gurunya yang bernama Maulana Abu Ishaq (R.O.Winstedt, 1938: 127). Kitab tersebut merupakan sebuah kitab aqidah yang diperintahkan oleh Sultan Mansur Shah supaya dihantar ke Pasai untuk diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. C.A.Majul berpendapat metod utama penyebaran Islam ke Alam Melayu ialah melalui penguasaan politik (C.A.Majul, 1962: 432). Penaklukan yang dilakukan oleh sesebuah negeri Islam ke atas negeri-negeri lain bukan sahaja menjadikan raja dan pembesar-pembesar negeri yang ditaklukinya terdorong menganut Islam bahkan juga rakyat jelatanya. Sekiranya negeri yang ditakluki itu telahpun menganut Islam sebelumnya, penaklukan tersebut memberi peluang bagi mempertingkatkan lagi penyebaran Islam. Kerajaan Melaka terutama pada zaman pemerintahan Sultan Mansur Shah (1456-1477M) dan Bendahara Tun Perak dikatakan begitu berjaya dalam penyebaran Islam. Islam telah dikembangkan begitu pesat di Johor, Pahang, Kampar, Bengkalis, Bentan dan Kepulauan Karimon. Kegiatan penyebaran Islam secara menyeluruh yang bermula dari istana dan pembesar kemudian kepada rakyat jelata merupakan satu bentuk penyebaran rasmi. Tindakan seumpama itulah yang menjadikan Melaka dianggap oleh sejarawan Barat sebagai negeri pertama di Tanah Melayu yang menerima Islam walaupun terdapat beberapa bukti sejarah negeri-negeri Melayu lain seperti Kedah, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor telah menerima Islam sejak abad ke 9 Masihi lagi. Kedatangan Islam telah memberi perubahan terhadap sistem politik Hindu-Buddha kepada siyasah syar`iyyah atau politik Islam. Contohnya, agama Islam telah diisytiharkan sebagai agama rasmi di Melaka. Sehubungan itu, beberapa institusi Islam didirikan bagi membantu mengukuhkan sistem pentadbiran berasaskan Islam. Antara institusi yang didirikan adalah Jabatan Agama Islam dan Syariah. Selain itu kitab Undang-Undang Laut dan Hukum Kanun Melaka dihasilkan untuk panduan masyarakat. Beberapa jawatan seperti kadi, imam dan sebagainya diwujudkan bagi melaksanakan peraturan-peraturan yang ditetapkan. Setelah Islam datang dan tersebar di seluruh Nusantara, sistem politik dan pentadbiran masyarakat Melayu telah berubah dan dipadankan dengan ajaran Islam. Gelaran raja bertukar kepada sultan dan disamakan dengan khalifah seperti yang diperkenalkan dalam sistem politik Islam. Dengan kedatangan Islam juga, terdapat suatu unsur kekuasaan rakyat dalam menentukan penubuhan sistem beraja. Rakyat boleh mengubah perjanjian jika syarat-syarat dilanggar oleh raja. Keadaan ini bertentangan dengan asas penubuhan yang disarankan oleh Taj al-Salatin dan Bustan al-Salatin yang menekankan fardhu bagi penubuhan sistem beraja sebagai kurniaan Tuhan kepada manusia dan merupakan suatu pekerjaan yang hanya dapat ditanggung oleh orang yang terpilih sebagai pewaris kedudukan khalifah. Konsep dewa raja bertukar kepada konsep sultan. Ia merupakan suatu gelaran kepada orang yang diamanahkan mentadbir sesebuah negeri dan pada masa yang sama berperanan sebagai khalifah Allah SWT di bumi. Kepatuhan dan ketaatan pada sultan adalah kepatuhan yang bersyarat, bukan kepatuhan mutlak seperti konsep dewa raja. Dalam konteks sosial, Islam mengajar tidak ada pengkastaan dalam masyarakat seperti dalam pengaruh Hindu-Buddha, sebaliknya pembentukan masyarakat mestilah diasaskan pada keadilan yang bersendikan agama. Raja dan rakyat, tua dan muda, kaya dan miskin semuanya mempunyai peranan dalam masyarakat (Afifah Abu Yazid, 2003: 54). Dari segi pentadbiran, kerajaan Melayu Melaka ditadbir oleh seorang sultan yang mempunyai kuasa penuh dalam urusan pentadbiran negara. Sultan juga berperanan sebagai ketua dalam agama Islam dan ketua negara. Sultan juga bertanggungjawab mempastikan pentadbiran dapat dijalankan dengan baik dan berkesan. Buktinya, di zaman pemerintahan Melayu Melaka, kerajaan amat maju dan stabil. Menurut sejarah, Kerajaan Melaka telah menyediakan tapak yang subur bagi perkembangan Islam di Tanah Melayu. Bukti-bukti sejarah menjelaskan bahawa Islam bertapak di Tanah Melayu seawal kurun ke-9M dan selewat-Iewatnya pada kurun ke-15M. Islam telah bertapak di Kelantan, Terengganu dan Kedah sebelum terbentuknya Kerajaan Melaka. Keagungan Melaka mula terserlah apabila ia mengamalkan dasar luar yang pragmatik iaitu dasar berbaik-baik dengan kuasa besar asing pada ketika itu seperti Siam, Majapahit dan China. Dasar ini mampu menstabilkan politik Melaka serta memberi peluang kepada perkembangan ekonomi dan pentadbirannya (Afifah Abu Yazid, 2003: 3). Sesungguhnya kebajikan rakyat hanya dapat disempurnakan dengan wujudnya pemerintah. Peranan tersebut adalah sukar dilaksanakan secara individu, kewujudan pemerintahan adalah cara terbaik untuk menyempurnakan kebajikan rakyat. Ia meliputi pengurusan dan pentadbiran yang cekap serta memerlukan kepada pemerintah sebagai penyelaras kuasa. Tolong menolong, bekerjasama dan bersatu padu adalah unsur-unsur yang perlu dan penting supaya kebajikan rakyat dapat dipenuhi. Unsur-unsur ini selamanya tidak akan mencapai tahap kecemerlangan tanpa wujudnya pemerintah yang adil. Bertolak dari unsur di atas, Islam yang tiba di Alam Melayu juga tidak mengabaikan aspek politik dan pentadbiran demi untuk menjaga maslahat rakyat keseluruhannya. Islam telah mengambil alih tempat yang paling penting dalam kehidupan masyarakat Melayu dan politik di rantau ini. Kebudayaan di Alam Melayu selepas menerima Islam menjadi sebahagian dari kebudayaan Dunia Islam yang lebih luas. Semua perkembangan yang wujud di lain-lain tempat turut dirasai dan mempengaruhi penduduk-penduduk Islam di rantau ini. Islam juga telah berjaya mempengaruhi sifat dan watak pemerintah atau sultan yang bertakhta di kebanyakan negeri di rantau ini ketika itu. Rata-rata struktur politik pemerintahan Islam di Alam Melayu menggembelingkan tenaga seluruh rakyat bagi memperjuang dan mempertahankan ajaran Islam, negara dan umatnya. Selain daripada itu, antara watak yang berjaya dibentuk oleh Islam terhadap sultan-sultan juga ialah mendorong mereka supaya meminati ilmu dan mendekati para ulama, hingga istana-istana menjadi pusat pengajian Islam yang utama (Abd. Rahman Haji Abdullah, 1981: 250). Ini berlaku kepada sultan-sultan yang terkenal seperti Sultan Malik al-Zahir (Samudera-Pasai), Sultan Mansur Shah (Melaka) dan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam (Acheh) (Dr. Haji Abdullah Ishak, 1992: 144). Ramai juga sultan-sultan Melayu yang terpengaruh dan menerima ilmu atau amalan tasawuf seperti Sultan Muhammad Yusuf al-Khalidi (Riau) dan Sultan Iskandar Muda (Acheh) (Abd.Rahman Haji Abdullah, 1981: 258) serta lain-lain lagi. Sikap para sultan Acheh yang begitu mengambil berat terhadap agama dan ilmu pengetahuan telah menjadikannya sebagai pusat pengajian Islam yang unggul di rantau ini pada waktu itu dan menjadi tumpuan para ulama dan mubaligh. Untuk itu kerajaan Acheh telah mendirikan pusat-pusat pendidikan rakyat yang ditempatkan di masjid-masjid di seluruh negeri, malah pusat pengajian yang lebih tinggi juga telah didirikan dan mereka yang berminat menyambung pelajaran seterusnya akan pergi ke Mekah, India atau Mesir (Abd. Rahman Haji Abdullah, 1981: 256). Konsep dan sistem pemerintahan pada zaman pengaruh Hindu-Buddha telah bertukar kepada konsep dan sistem sultan dalam Islam walaupun tidak secara total. Sultan sebagai ketua negara yang menjalankan undang-undang keadilan, menjaga dan melindungi hak-hak serta kepentingan rakyat. Sultan juga menjadi ketua agama dan adat yang bertanggungjawab menjaga keutuhan agama dan keharmonian adat. Sultan tidak dianggap sebagai manusia paling suci seperti kepercayaan zaman Hindu-Buddha sebelumnya. Namun begitu, sewaktu kedatangan Islam masyarakat menganggap sultan adalah manusia yang mulia, para sultan dianggap mempunyai daulat (kekuasaan halus) yang hanya dimiliki oleh raja dan tidak boleh diganggu-gugat.
Konsep daulat berkembang apabila sultan dikaitkan dengan pelbagai mitos tentang asal-usul, jurai keturunan dan salasilah serta kebolehan fizikal dan kerohanian luar biasa. Daulat juga dihubungkan dengan tuah yang dimiliki oleh sultan tersebut, iaitu apabila keadaan negeri aman dan makmur, perdagangan berkembang pesat, tanaman hidup subur, ternakan membiak dan rakyat bertambah ramai, maka sultan tersebut dianggap bertuah dan berdaulat. Dengan itu, rakyat mestilah menjalankan titah perintah sultan dan sesiapa yang menentang dianggap menderhaka. Ini bermakna kedatangan Islam berjaya mengubah watak dan sifat raja atau sultan kepada sifat yang lebih positif. Aspirasi Islam menjelma melalui nama-nama sultan dan negara, dahulunya bercirikan Hindu mula ditukar kepada Islam. Kitab Taj al-Salatin (1603 M) karya Bukhari al-Jauhari merupakan satu penulisan mengenai bidang politik atau ketatanegaraan Alam Melayu. Beliau dianggap pelopor dalam bidang ini yang telah mempengaruhi karya-karya berikutnya, Bustan al-Salatin (1638 M) oleh Nuruddin Al-Raniri dan Sulalat al-Salatin (1612 M) oleh Tun Seri Lanang. Dengan itu jelas sekali memperlihatkan pengaruh Islam di dalam pemikiran politik rantau ini setelah kedatangan Islam. Pengarangnya telah mengulas sifat-sifat yang perlu ada pada seseorang penguasa atau pemerintah seperti sifat amanah, adil, terbuka, sama rata, beriman dan budiman, lemah lembut, tidak melanggar hukum Allah dan syari‛ah, mengasihi para ilmuwan dan menerima nasihat mereka, mengambil berat keadaan rakyat serta lain-lain. Selepas Islam datang ke Melaka, Islam bukan sahaja mempengaruhi undangundangnya, tetapi juga konsep kedaulatan raja-rajanya Ini digambarkan di dalam Sejarah Melayu yang menyebut hubungan di antara raja-raja Melayu Melaka dengan Allah dan Rasul sebagaimana kata-kata Bendahara Tun Perak, “...dan jangan kamu sekalian lupa pada berbuat kebaktian kepada raja kamu. Oleh itu kata hukama, adalah raja yang adil itu dengan Nabi SallalLahu-`alaihi wasallam umpama dua buah permata pada sebentuk cincin, lagipun raja itu umpama ganti Allah di dalam dunia, kerana ia Zulillah fi al-`alam, apabila berbuat kebaktian kepada raja seperti berbuat kebaktian kepada AlLah Subhanahu wa Ta`ala. Yakni berbuat kebaikan kamu akan Allah dan Rasul-Nya dan akan raja... hendaklah jangan kamu lupa, supaya kebesaran dunia akhirat kamu perolehi.” Kenyataan di atas menggambarkan kepada kita iaitu selepas kedatangan Islam konsep raja sebagai “dewa-raja” telah bertukar menjadi “ganti Allah” atau dalam kenyataan yang lain disebut “wakil Allah”. Selain daripada itu ia juga memetik perintah Allah supaya taat kepada Allah, Rasul-Nya dan pemimpin di kalangan mereka. Pelaksanaan Undang-Undang Melaka dan Undang-Undang Laut Melaka yang berlandaskan hukum-hukum Islam adalah suatu perubahan besar yang nyata menunjukkan pemerintah-pemerintah Melaka pada ketika itu berusaha bersungguh-sungguh melaksanakan undang-undang Islam. Begitu juga dengan konsep musyawarah atau bermuafakat antara raja yang memerintah dengan pegawai dan pembesar-pembesarnya adalah teras penting untuk mencapai keadilan. Sejarah Melayu menyatakan hal yang demikian dengan memetik titah Sultan Mansor Shah, “...dan hendaklah engkau bermuafakat dengan segala menteri dan segala orang besar-besarmu, kerana raja itu, jikalau bagaimana sekalipun bijaksananya dan tahunya, jikalau tiada muafakat dengan segala pegawainya di mana akan dapat ia melakukan bijaksananya itu?” Peranan istana yang pada masa itu sebagai penyimpan khazanah ilmu agama dan kesusasteraan Islam juga menjadikan raja sebagai pengembang Islam. Manakala kedudukan maulana, ahli fiqh dan kadi sering mendapat kedudukan yang tinggi di  kalangan pemerintah (Yahaya Abu Bakar, 1982, 16)sebagai golongan ulama yang sentiasa menjadi penasihat umara. Lantaran ulama dan umara adalah dua pihak yang tidak boleh dipisahkan dalam sebuah negara Islam (`Abdul `Aziz al-Badri, 1979, 30). Jawatan yang paling penting selepas raja adalah Bendahara. Tome Pires menggambarkan jawatan Bendahara sebagai “who is next the king” dan “chief-justice” yang menjalankan tugas pendakwaan dalam kes-kes perbicaraan sivil dan jenayah di peringkat negeri. Sebagai ketua eksekutif dalam pentadbiran, jawatan Bendahara biasanya seorang yang faham dan matang dalam selok belok berkerajaan dan lazimnya ia juga menjadi “penasihat” raja. Ini digambarkan di dalam Sejarah Melayu semasa Bendahara Tun Perak menasihatkan Sultan Mahmud dengan katanya, “Adapun tuanku... yang kehendak nafsu itu daripada was-was syaitan `alaihi laknat. Banyak rajaraja yang besar-besar dibinasakan Allah kerajaannya sebab menurut hawa nafsunya.” Walau bagaimanapun, peranan yang dimainkan oleh pemerintah Melaka sejak terdirinya kerajaan Melaka dengan susunan organisasi pentadbirannya yang lengkap dan rapi tidak dapat dipisahkan dengan perkembangan sistem perundangan Islam yang dilaksanakan, walaupun kedapatan hukum adat masih dijadikan peruntukan alternatif. Siyasah Syar`iyyah vs Politik Boleh dikatakan keseluruhan masyarakat Malaysia hari ini heboh memperkatakan tentang politik tanah air. Walaupun begitu masih ada golongan yang tidak memahami maksud sebenar politik yang sering diperkatakan itu. Definisi politik mengikut Kamus Dewan membawa tiga maksud iaitu: 1) Ilmu (pengetahuan) berkenaan cara pemerintahan (dasar-dasar pemerintahan dan lain-lain). 2) Segala sesuatu berkenaan pemerintah sesebuah negara atau hubungannya dengan negara lain. 3) Kelicikan, muslihat dan tipu muslihat. Sekiranya ketiga-tiga maksud ini digabungkan dapatlah kita membuat satu kesimpulan dengan mengatakan bahawa politik adalah satu cabang dari cabang-cabang ilmu pengetahuan berkenaan dasar-dasar pemerintahan sesebuah negara meliputi hubungan dalam dan luar negara berdasarkan pengalaman, gaya tadbir, kelicikan dan tipu muslihat. Manakala Political Sciences pula adalah subjek yang membicarakan tentang ilmu pemerintahan dan politik. Kalimah siyasah syar‟iyyah kini sangat popular pada masa kini yang juga boleh diertikan sebagai politik. Definasi siyasah atau politik sepertimana terkandung di dalam kitab sahih Muslim syarah Imam an-Nawawi adalah "Mentadbir sesuatu bagi kemaslahatannya". Secara sepintas lalu inilah definasi kepada politik atau siyasah yang dijalankan pada hari ini secara global sama ada ianya bersistemkan demokrasi atau autokrasi. Kesemuanya menjurus kepada mentadbirkan selok belok masyarakat dan negara dengan mempamerkan pelbagai senario. Politik atau siyasah secara global adalah bermaksud cara mentadbir sesuatu atau mengurusnya. Adapun mafhum siyasah syar`iyyah sepertimana yang disebut oleh ulamaulama terdahulu mempunyai dua makna.
1) Makna umum/am iaitu pentadbiran urusan-urusan manusia dan juga selok belok kehidupan dunia mereka berasaskan syarak. Dengan itu mereka mendefinasikan khalifah sebagai pengganti kepada Rasulullah s.a.w pada urusan menjaga agama dan politik pentadbirannya dengan agama. 2) Makna khas iaitu perkara yang dilihat oleh pemerintah atau yang dikeluarkannya daripada hukum-hukum serta perlembagaan untuk menghalang keburukan yang sedang berlaku atau dijangka akan berlaku atau untuk membaiki keadaan yang khusus/khas. Banyak politik hari ini terang-terang melanggar syariat Islam. Banyak politik hari ini tidak memperdulikan syarak. Banyak politik hari ini tidak mengenal batas haram dan halal, boleh diterima atau tidak. Politik hari ini berjalan mengikut persepsi, acuan dan hawa nafsu pendokongnya. Antara mereka ada yang menjadikan falsafah, fikrah-fikrah serta ideologi tertentu sebagai sumber rujukan yang dijadikan pegangan sepertimana yang dilakukan oleh puak sekularisme sama ada mereka yang menyokong dasar liberal mahupun berfahaman Marx. Ada juga yang mengamalkan politik gaya nafsu syahwat, kepentingan individu atau parti bagi mengekalkan kedudukan atau kerusinya tanpa memandang kepentingan masyarakat bersama, cita-cita serta nilai kewujudan mereka. Sistem politik-politik seperti ini tidak layak mendapatkan gelaran siyasah syar`iyyah atau politik yang dibenarkan, kerana ianya tidak menjadikan syarak sebagai dasar kegiatan dan sumber rujukan politiknya. Apabila kalimah siyasah atau politik dikaitkan atau diiringi dengan syarak dengan kata-kata siyasah syar`iyyah atau politik syar`iyyah, ada pihak-pihak yang cuba menyangkal dengan mengatakan bahawa tiada kalimah politik atau siyasah di dalam Islam - there is no political in Islam. Golongan-golongan yang memperjuangkan politik Islam dengan syiar "Islam adalah agama dan politik" diserang oleh puak-puak sekularisme atau yang berfahaman serta memperjuangkan dasar-dasar sekularisme dengan syiar mereka "Mengasingkan agama dari negara", atau "Mengasingkan agama dari kehidupan seharian". Dalam ibarat yang lain sekularisme bermaksud tiada atau anti agama dan mengasingkan kehidupan dari kongkongan agama. Mereka mengatakan bahawa golongan yang menjadikan "Islam adalah agama dan politik" sebagai syiar mereka telah mencampuradukkan politik dengan agama seterusnya mengeksploitasikan agama untuk kepentingan politik. Mereka-mereka yang berkata sedemikian adalah puak-puak sekularisme atau mendokong dasar fahaman sekular. Dengan itu politik Islam mendapat tentangan hebat dari puak berfahaman sekular yang cuba mencelah masuk ke negara-negara Islam hari ini. Sistem politik demokrasi berparlimen adalah satusatunya sistem yang paling mirip dengan politik Islam. Politik demokrasi yang mirip kepada politik Islam adalah dilihat dari aspek kebebasan bersuara, mengeluarkan pendapat, mengkritik atau menegur kepimpinan. Walaupun begitu politik Islam tetap mempunyai gaya dan uslub (method) yang tersendiri mengatasi segala sistem politik yang lain. Politik Islam merupakan salah satu dari pelbagai cabang-cabang feqah Islami yang mencakupi keseluruhan kehidupan manusia. Sebagaimana dimaklumi Islam menitik beratkan kepada beberapa hubungan yang telah disebutkan sebagai asas kepada politik Islam iaitu adalah seperti berikut : i) Merangkumi hubungan manusia dengan Penciptanya yang disebut sebagai feqah ibadah.
ii) Merangkumi hubungan manusia dengan kehidupan dirinya secara khusus yang disebut sebagai feqah halal dan haram. iii) Merangkumi hubungan individu dengan keluarganya mengenai urusan nikah, cerai, wasiat, harta pusaka dan sebagainya yang disebut sebagai al-Ahwal as-Syakhsiyyah. iv) Merangkumi hubungan individu dengan masyarakat dalam segala urusan dan tindakan seharian yang disebut sebagai al-Qanun al-Madani atau Tijari (urusan perniagaan). v) Merangkumi hubungan dua hala di antara sebuah negara Islam dengan negara-negara Islam yang lain juga negara bukan Islam atau dalam erti kata lain hubungan antarabangsa dalam semua aspek dan situasi, dalam keadaan aman mahupun darurat atau peperangan. Politik Islam juga merangkumi hubungan manusia dengan negara atau hubungan pengadilan dengan yang diadili atau pemerintah dengan rakyat jelata atau Kerajaan dengan masyarakat atau dalam erti kata lain sebagai al-Feqah ad-Dusturi (Feqah Pelembagaan). Siyasah Syar`iyyah di Malaysia Masakini Politik kepartian pada asasnya lahir dari sistem demokrasi. Di Malaysia, ia bermula pada tahun 1955 apabila ia menerima sistem demokrasi sebagai kaedah pemerintahan di samping sistem beraja. Tiada dalam pengalaman Islam sepanjang sejarah, tertubuhnya parti politik dalam sistem pemerintahan negara. Ini bermakna kehidupan demokrasi dalam sistem politik Islam adalah satu pengalaman baru bagi umat Islam. Bagaimanapun amalan demokrasi harus disaring untuk mencapai objektif kehidupan berteraskan maqasid al-syariah. Malaysia seperti negara Islam lain menerima demokrasi Barat secara bertapis. Secara umumnya, kita mengamalkan pilihan raya tetapi masih mengekalkan nilai asal yang diwarisi dari pengalaman pemerintahan Islam yang lampau. Negara Islam tidak menerima sepenuhnya falsafah demokrasi ala Barat. Isu penerimaan terhadap sistem demokrasi pilihan raya menjadi perbahasan hangat dalam kalangan masyarakat Islam satu masa dahulu. Demokrasi memberi ruang penyertaan rakyat dalam menentukan dasar dan hala tuju negara. Umat menjadi sumber kuasa dan hak dalam menilai pemerintah dan dianggap nilai yang baik dalam demokrasi. Imam Hasan al-Banna menerima sistem demokrasi pilihanraya secara umum dengan beberapa cadangan penambahbaikan dan kita masih perlu mengolah demokrasi berasaskan nilai Islam atau nilai ketimuran. Ini adalah satu-satunya penyelesaian politik yang akan memihak kepada Islam dan umat Islam. Ada pun menerima liberal demokratik Barat sepenuhnya dari segi falsafah dan nilai akan merosak dan merugikan umat Islam. Kemungkinan ketidakmatangan pengalaman politik dalam membangunan sistem politik ala Islam telah membawa negara kita kepada perbalahan politik yang mengundang kemusnahan terhadap Islam dan umat Islam sendiri. Matlamat perjuangan parti politik umat Islam tidak dipandu oleh garis panduan bagi mencapai maksud siyasah syar`iyyah yang umum. Hari ini perbalahan politik dalam kalangan umat Islam sampai ke tahap yang membahayakan. Dengan maksud kemungkinan meruntuhkan sistem politik demokrasi bertapis kepada demokrasi terbuka yang akan meletakkan Islam dan umat Islam di bawah konsep samarata dengan agama dan umat yang lain. Keinsafan menuntut kita bersatu, bersepakat dalam mematangkan amalan demokrasi berasaskan nilai tempatan. Namun begitu, permusuhan politik telah dikuasai dendam yang hanya tahu meruntuh dan niat membangunkan politik atas asas siyasah syar`iyyah akan terkubur terus.
Parti-parti politik umat Islam di Malaysia pada masa kini berada dalam keadaan krisis dari segi fungsi dan hubungan, dalam konteks menghidupkan amalan demokrasi di Malaysia. Mereka sepatutnya memainkan peranan saling melengkap dan membina. Namum begitu apa yang berlaku ialah berkonfrantasi sepanjang masa antara satu sama lain. Ini berpunca daripada tidak jelas hubungan siyasah syar`iyyah dalam orientasi demokrasi di Malaysia. Satu pihak menganggap sistem yang ada sudah cukup munasabah manakala pihak yang lain menganggapnya salah dan bertentangan dengan Islam. Barangkali persoalan besar yang belum terungkai semenjak sekian lama ialah dari segi status Malaysia sebagai sebuah negara Islam. Kesimpulan Walaupun kita bersetuju bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam dari segi takrif dan istilah, tetapi pengamalan siyasah syar`iyyah di dalamnya tidak sempurna atau tidak menyeluruh. Terdapat kecacatan di sana sini dari segi syarat perwakilan, ciri-ciri pemimpin, kaedah akad kontrak dan kuasa bagi mendaulatkan Islam dan memelihara martabat umat Islam. Umat Islam perlu dalam pendirian politiknya memastikan kondisi politik mereka berada pada tahap terpelihara sehingga dapat mempertahankan kepentingan Islam dan umat Islam seperti yang tercatat dalam perlembagaan. Umat Islam harus berusaha untuk mengatasi cabaran politik yang mencipta kondisi politik baru yang membolehkan mereka melaksanakan siyasah syar`iyyah secara sempurna. Perubahan politik memerlukan terlebih dahulu perubahan terhadap aqidah dan kefahaman umat. Satu fakta yang penting juga ialah arahan melaksanakan tuntutan fardu kifayah adalah kewajipan ke atas bahu umat Islam. Pemerintah bagi pihak umat Islam dalam melaksanakan tuntutan fardu kifayah tersebut agak sukar digambarkan dalam keadaan umat tidak faham dan tidak bersedia untuk dibebankan dengan tanggungjawab pelaksanaan siyasah syar`iyyah. Tanggungjawab pemerintah perlu terus berusaha mengukuh dan meninggikan kedudukan Islam dan memartabatkannya melalui pelbagai agensi yang sedia diperuntukkan di dalam perlembagaan. Di samping itu usaha berterusan untuk mendidik dan membangunkan umat Islam agar memahami dan memiliki kemampuan untuk mengisi keperluan sebuah negara berasaskan siyasah syar`iyyah perlu dilaksanakan. Parti pembangkang pula boleh memainkan peranan amar makruf nahi mungkar, memuhasabah pemimpin, melakukan hisbah, sebagai kuasa pendesak, pengimbang kuasa dan sebagainya. Semua tindak tanduk politik hendaklah mengarah kepada memelihara dan memperkukuhkan kedudukan umat supaya perbalahan politik yang berlaku tidak mengakibatkan kehilangan kuasa umat Islam.

Rujukan:

Mu‟jam al-Wajiz (1980). Majma‟ Al-Lughah al-Arabiyah.

Abdul Wahab Khallaf (1982), Siyasah Syar`iyyah Aw Nizam al-Daulah Islamiyah Fi Syuun al-Dusturiyah wa al-Kharijiah wa al-Maliyah; Kaherah, Dar al-Ansar.

Muhammad Yusuf Musa (1996), Al-Madkhal Li-Dirasah al-Fiqh al-Islami, Dar al-Fikr al- `Arabi.

Ibn Khaldun. (t.t), Al Muqaddimah, Beirut.

Ibn Abidin, (1992), Hasyiah Radd al-Muhtar „ala al Durr al Mukhtar, Juz 4, Beirut.

Shukeri Mohammad, (2011), Siyasah syar‟iyyah dalam Pentadbiran Negara, dalam Seminar Pelaksanaan Siyasah Syar‟iyyah Dalam Konteks Semasa, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra, Nilam Puri, Kelantan.

Abdul al- Al Atwah, (1993), Al Madkhal ila al-Siyasah al-Syari‟yyah, Riyadh. Yusuf Al Qardawi, (1999), Pedoman Bernegara dalam Perspektif Islam, diterjemahkan dari al-Siyasah al-Syar`iyyah, penterjemah Kathur Suhardi, Jakarta: Penerbit Al Kautsar, 1999.

Shellabear (1896). Sejarah Melayu, Singapore.

Syed Hussein al-Attas (1964). “Archipelagy, History and the Social Sciences in South East Asia”, Journal Muzium Persekutuan, vol. IX.

C.C.Brown (1970). Sejarah Melayu or Malay Annals, Oxford University Press.

D.G.E. Hall (1964). A History of South East Asia, London: MacMillan.

C.A.Majul (1962). Theories on the Introduction and Expension of Islam in Malaysia, Taiwan: International Association of Historian of Asia.

`Abdul `Aziz al-Badri (1979).Al-Islam bayn al-`Ulama‟ wa al-Hukkam, Kaherah: al-Aluri.

No comments:

Post a Comment