TAMADUN ISLAM
PENGENALAN
Dalam penulisan
ini penulis akan menerangkan
mengenai tamadun Islam
dan beberapa aspek penting
yang menjadi asas
kepada ketamadunan Islam
itu sendiri. Sebelum
ini pelajar didedahkan berkaitan
ilmu ketamadunan termasuk
istilah ketamadunan, prinsip-prinsip asas, persamaan
dan juga perbezaan
tamadun. Dalam bab
ini, pelajar akan
dibawa menelusuri tamadun Islam yang merupakan tamadun yang berasaskan
tauhid. Tamadun Islam tidak sebagaimana
tamadun-tamadun yang lain telah
terbentuk melalui satu proses yang
unik bermula di
tanah yang gersang
(padang pasir) dan
berkembang mewarnai landskap padang
pasir yang tandus
dengan terbinanya sebuah
negara yang mampu melahirkan bukan
sahaja pembangunan material
malah pembangunan spiritual
yang hebat. Anda akan
mendapati landskap tamadun
Islam terbina berasaskan
wahyu Ilahi. Oleh yang
demikian, mengenali tamadun
Islam secara lebih
dekat itu penting
bagi memahami proses pembentukan, ciri-ciri istimewa dan sumbangannya
terhadap tamadun yang lain.
Pengertian
Asas Islam
Islam ialah
nama kepada risalah Ilahi yang dibawa oleh semua nabi dan
rasul sejak Nabi Adam a.s. sehinggalah
kepada Nabi Muhammad
SAW (rasul yang
terakhir). Perkataan Islam ini
tidak dikaitkan dengan nama individu dan tempat tertentu seperti agama Buddha yang diambil
daripada nama pendirinya
iaitu Gautama Buddha,
Masihi yang dikaitkan dengan Isa al-Masih a.s.,
Zarathustra daripada nama pelopornya
Zarathustra dan Yahudi pula diambil daripada
nama suatu kabilah
yang terkenal dengan
nama Yahuza. Nama Islam
sebenarnya menunjukkan suatu
sifat yang terkandung
dalam makna perkataan “Islam” itu
sendiri. Islam menjanjikan
kesejahteraan dan keselamatan
kepada penganutnya. Sabda Nabi SAW yang bermaksud:
“Masuklah kamu
ke dalam agama Islam nescaya kamu selamat.”
(Riwayat Ibn
Majah)
Satu perkara
yang jelas dan nyata daripada nama ini ialah tidak ada seorang manusia pun yang boleh
mendakwa bahawa merekalah
penciptanya. Sesiapapun tidak
akan diiktiraf jika memilih
selain daripada Islam
sebagai anutan dan
pegangan. Firman Allah
SWT dalam surah Ali-Imran ayat 85 yang bermaksud:
“Sesiapa yang
memilih selain daripada Islam sebagai ikutan maka segala amalannya tidak akan
diterima dan di akhirat kelak akan tergolong
dalam kalangan orang yang rugi.”
Begitu juga,
tidak ada mana-mana bangsa yang boleh mengakui bahawa Islam itu adalah hak mereka kerana Islam diturunkan untuk seluruh
penghuni dunia sejak dahulu hingga sekarang. Sabda Nabi SAW yang bermaksud:
“Tidak ada
perbezaan antara orang
Arab dan bukan
Arab (’Ajam) melainkan melalui jalan takwa.” (Riwayat
al-Tabrani)
Perkataan Islam
dari sudut bahasa
ialah tunduk, menyerah,
sejahtera dan patuh.
Dari sudut istilah pula membawa makna taat kepada Allah SWT
dengan sepenuh hati tanpa sebarang
keraguan serta tunduk
dan patuh kepada
segala perintah-Nya tanpa membantah. Untuk memahami Islam secara
mendalam seseorang yang menganut Islam mestilah mempunyai kepercayaan dan
keyakinan yang jitu lahir dan batin. Manifestasi daripada pengertian
ini ialah Islam
diturunkan untuk membawa
manusia ke arah
satu kesatuan akidah, iaitu
meletakkan kepercayaan dan
perhambaan hanya kepada
Allah SWT yang Maha
Esa tanpa sebarang
keraguan. Firman Allah
SWT dalam surah
AliImran ayat 19 yang bermaksud:
“Sesungguhnya
agama (yang diredai) di sisi Allah ialah Islam.”
Islam juga
merupakan peraturan hidup
yang lengkap lagi
sempurna bagi membina sistem kehidupan
manusia dan isi
alam seluruhnya. Namun,
kitab-kitab ajaran Islam yang
diturunkan kepada nabi-nabi
dan rasul-rasul terdahulu
telah dipesongkan oleh pengikut-pengikut mereka. Oleh yang
demikian, kehidupan manusia selepas 500
tahun sesudah Nabi Isa a.s.
telah beransur-ansur jauh dan menyimpang daripada ajaran
yang benar. Perhambaan kepada
Allah yang Maha
Esa telah bertukar
kepada perhambaan kepada manusia,
berhala, api dan sebagainya. Sifat kemanusiaan telah berubah menjadi sifat
kebinatangan. Golongan yang kuat lagi berkuasa menindas yang lemah, manakala yang kaya
menindas yang miskin.
Allah SWT menggambarkan
kesesatan manusia ketika itu
melalui firman-Nya dalam surah al-Ankabut ayat 61-65 yang bermaksud:
“Dan sesungguhnya
jika kamu (wahai
Muhammad) tanyakan kepada mereka (orang musyrik) itu: “ Siapakah
yang menjadikan langit dan bumi dan
memudahkan matahari dan
bulan (untuk faedah
makhlukmakhluknya)?” Sudah tentu
mereka akan menjawab:
“Allah”...Dan sesungguhnya
jika kamu (wahai
Muhammad) bertanya kepada
mereka (orang musyrik) itu: “Siapakah yang menurunkan air dari langit,
lalu ia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di
bumi sesudah matinya?”
Sudah tentu
mereka akan menjawab:
“Allah”...Dalam pada itu
apabila mereka naik bahtera
(lalu menemui sesuatu
bahaya di laut),
mereka memohon pertolongan kepada Allah dengan doa tulus ikhlas
kepada-Nya.
Kemudian
setelah Allah menyelamatkan mereka (naik) ke darat, mereka berlaku syirik
kepada-Nya.”
Ketika manusia
berada dalam kesesatan
dan zaman jahiliah
inilah Allah SWT
telah mengutuskan Nabi Muhammad
SAW untuk meletakkan semula kemuliaan Islam sebagai agama yang
tertinggi daripada agama-agama
lain. Baginda SAW
juga diutuskan untuk menegakkan keadilan
dan meninggikan sifat-sifat
kemanusiaan yang sudah
rosak. Baginda berjaya menyedarkan mereka daripada terus hanyut dalam arus jahiliah. Mereka diberi kesedaran bahawa
kekayaan dan kekuasaan itu hanya milik Allah
SWT. Mereka disuruh
meninggalkan fahaman syirik
dan penyembahan berhala.
Baginda menjelaskan tidak
ada Tuhan yang selayaknya disembah melainkan Allah SWT. Tidak cukup dengan orang Musyrikin
Mekah, baginda juga
berdakwah kepada Ahli
Kitab yang suka mengubah
dan menukarkan isi
kandungan kitab agar
tidak menyekutukan Allah
SWT (Ali Ahmad al-Jarjawi:2009). Perkara
ini dirakamkan dalam
al-Quran surah Ali-Imran ayat 64 yang bermaksud:
“Katakanlah wahai
Muhammad;”Wahai Ahli Kitab,
marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara kami
dengan kamu iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah dan kita juga
tidak menyekutukannya dengan sesuatupun
di dunia ini.”
Dengan usaha
dan perjuangan Rasulullah
SAW yang berterusan
selama 23 tahun
ini, maka akhirnya Islam
itu sempurna untuk
memenuhi keperluan manusia
pada setiap tempat dan masa
sehingga ke hari kiamat. Hal ini jelas disebutkan melalui firman-Nya dalam
surah al-Maidah ayat 3 yang bermaksud:
“Hari ini Aku
telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu
kepada kamu, dan
Aku telah redhakan
Islam itu menjadi agama untuk
kamu.”
Walaupun terdapat
kritikan, celaan, cacian,
propaganda serta pelbagai
tohmahan yang dilemparkan terhadap
Nabi Muhammad SAW
sepanjang masa, terutamanya
daripada mereka yang memusuhi
Islam, masih ada
ahli fikir Barat
atau orientalis yang
tidak sempit dan buta mata hatinya mahu menyelami Islam dan menjiwainya
dengan memuji Nabi Muhammad SAW.
Mereka mengkaji sejarah
umat yang dihidupkan
melalui tuntutan wahyu Ilahi itu seperti Thomas Carlyle yang mengaku
bahawa Nabi Muhammad SAW itu bukan
orang biasa dan
al-Quran itu bukan
suatu hasil kesusasteraan
belaka.
Malahan, seorang
sarjana berketurunan Aglo-French
iaitu Denis Saurat
turut memperakuinya dengan menulis di dalam bukunya “History of Religion” bahawa agama yang diajarkan
oleh Nabi Muhammad
SAW itu mempunyai
kelengkapan yang cukup untuk
terus bertahan dalam
zaman moden ini.
Menurut beliau prinsip-prinsipnya yang dikemukakan adalah
mudah dan munasabah.
Nabi Muhammad SAW
juga turut diakui oleh profesor sejarah Amerika, Richard
Fletcher (2007) dalam karyanya “The
Cross and the Crescent” bahawa Islam yang dibawa oleh baginda berjaya membawa
pengaruh yang jauh lebih besar
berbanding kerajaan Romawi
yang telah lama
wujud sebelum kemunculan agama
suci itu. Seterusnya
sarjana Perancis, Monsieur
John Serou (2006) pula dalam bukunya “History of Muhammad” menyatakan bila bertambah penyelidikan manusia tentang
perjalanan hidup Nabi
Nuhammad SAW, nescaya
orang akan mengetahui dan dapat
memecahkan persoalan yang menjadi sebab beberapa juta hamba Allah SWT
memeluk agama Islam pada masa yang telah lalu dan pada masa sekarang.
Ini
menunjukkan bahawa agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW adalah agama wahyu dan
bukan hasil daripada
ciptaannya. Firman Allah
Taala dalam surah
al-Najm ayat 3-4 yang bermaksud:
“Muhammad tidak
bercakap mengikut hawa
nafsunya tetapi beliau bercakap di atas apa yang diwahyukan
kepadanya.”
PANDANGAN SEMESTA TAMADUN ISLAM
Ruang lingkup
pandangan semesta tamadun Islam perlu dilihat kepada beberapa konsep yang membentuk
tamadun Islam itu
sendiri. Semuanya terkandung
dalam ajaran al-Quran. Justeru, beberapa konsep yang disebutkan melalui al-Quran
boleh dijadikan inti pati perbincangan, antaranya ialah:
1. Konsep Ketuhanan
Kepercayaan kepada
Tuhan yang tunggal
iaitu Allah SWT
menjadi asas kepada pembinaan tamadun
Islam. Ia terkandung
dalam satu konsep
tersendiri dan harus difahami bahawa
mentauhidkan Allah SWT
dengan pengetahuan yang
sebenarnya hendaklah
merangkumi tiga perkara
iaitu, tawhid uluhiyyah,
tawhid rubbubiyyah dan asma’ wa al-sifat.
1. Tawhid Uluhiyyah: Mentauhidkan diri hanya
kepada Allah SWT dengan penuh ikhlas
dengan menghadirkan perasaan
mahabbah kepada-Nya (kasih),
khauf kepadanya (takut),
raja’ (mengharap), tawakkal, raqbah
(hampir) dan rahbah
(takut) hanya kepada-Nya.
Pengabdian yang terbina
berdasarkan keikhlasan yang merangkumi zahir dan batin kerana Allah Taala.
2. Tawhid Rubbubiyyah: Mentauhidkan Allah
SWT kepada penciptaan
alam, mengurus, mentadbir,
memiliki, memelihara, menghidup, mematikan dan segala perkara. Tauhid
ini turut diperakui oleh orang musyrikin
tetapi mereka tidak
menyerahkan diri sepenuhnya
kepada Allah SWT kerana kepercayaan mereka
disertai dengan unsur-unsur syirik
(menyekutukan) kepadaNya. Firman Allah SWT di dalam Surah Yunus ayat 106
yang bermaksud:
“Dan sebahagian
besar dari mereka
tidak beriman kepada
Allah, melainkan dalam keadaan
mempersekutukan Allah dengan yang lainya.”
3. Asma’ wa al-sifat: Mentauhidkan Allah
SWT dengan percaya
dan mengakui segala
nama dan sifat-Nya secara ijmal
(ringkas) dan tafsil (panjang lebar) menurut apa yang termaktub dalam alQuran
dan hadis Nabi
SAW. Bagi Allah
SWT, nama-nama yang
paling baik dengan segala sifat kesempurnaan dan Maha
Suci Allah daripada segala sifat kekurangan. Tauhid ini juga diperakui oleh
orang musyrik, tetapi mereka mengingkari nama dan sifat
Allah SWT dengan maknanya yang hakiki bahkan meletakkan
sifat yang tidak layak bagi-Nya. Mereka
berkata:
“Kita tidak
mengenali nama al-Rahman (pemurah) melainkan Rahman di Yamamah sahaja.”
Justeru, di
dalam al-Quran dengan
jelas menerangkan bahawa
Allah SWT sahajalah Tuhan yang
layak disembah dan
Dia adalah pencipta,
penguasa dan pemilik
mutlak kepada alam ini termasuk
diri manusia itu sendiri. Firman
Allah SWT dalam surah
alMaidah ayat17 yang bermaksud:
“Bagi Allah
jualah kuasa pemerintahan
langit dan bumi,
dan segala yang
ada di antara keduanya.”
Ternyata,
konsep kekuasaan dalam Islam adalah lebih jelas, mudah dan meyakinkan jika dibandingkan dengan
konsep kekuasaan ciptaan
manusia yang agak
kabur serta mengelirukan. Ini
dapat dibuktikan apabila
wujudnya pelbagai aliran
pemikiran yang berbeza dalam
menentukan jenis, had dan di mana letaknya kekuasaan itu. Menurut Syed
Muhammad Naquib al-Attas
(1972), tauhid mengemukakan
suatu antologi, kosmologi dan psikologi tersendiri dalam satu konsep
agung yang diistilahkan sebagai Keesaan Wujud atau Wahdat al-Wujud. Konsep ini berdiri tegak
atas dasar-dasar yang terdapat dalam al-Quran dan memenuhi setiap ruang, kaedah
dan kehidupan orang Islam. Oleh itu,
aspek ketuhanan dalam
tamadun Islam tidaklah
boleh sewenangwenangnya disamakan
dengan aspek ketuhanan yang terdapat dalam agama lain. Konsep kepercayaan, ketundukan
dan kepatuhan kepada
Allah SWT adalah
dalam lingkungan menurut segala
perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Firman Allah SWT dalam Surah
al-Bayyinah ayat 5 yang bermaksud:
“Pada hal
mereka tidak diperintah
melainkan supaya menyembah
Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas
tauhid; dan supaya mereka
mendirikan sembahyang serta
memberi zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar.”
Konsep Kemanusiaan
Manusia
dari perspektif Islam ialah
“makhluk mukallaf” iaitu makhluk yang diletakkan tanggungjawab atau
kewajipan tertentu. Manusia
diangkat sebagai khalifah
atau pemegang amanah yang tidak
mempunyai kuasa mutlak dalam menguruskan alam ini. Oleh itu,
dalam melaksanakan tanggungjawab
sebagai khalifah, manusia
mestilah mengikut ketetapan hukum-hukum
Allah SWT dan
prinsip-prinsip yang menjadi
asas hukum tersebut. Sebenarnya
manusia dinilai perbuatan
mereka dengan lima
nilaian hukum yang menjadi
panduan dalam melaksanakan
kewajipan mereka sebagai
hamba Allah SWT. Mereka diikat
dengan hukum wajib setiap hari dengan melakukan suruhan dan perintah-Nya,
hukum haram terhadap
perkara yang melibatkan
larangan-Nya, hukum makruh yang
menyebabkan kelemahan diri
terpampang dan mungkin membantutkan kesempurnaan hidup, hukum sunat
agar kesempurnaan hidup terserlah, seterusnya
hukum harus agar
dapat membuat pilihan
terhadap perkara yang
diingini ataupun tidak. Justeru,
mana-mana pelanggaran terhadap
hukum-hukum Allah SWT akan
meletakkan diri manusia
itu dalam kebinasaan
serta mendapat balasan
daripadaNya. Firman Allah SWT dalam Surah al-Maidah ayat 45 yang
bermaksud:
“Dan sesiapa
yang tidak menghukum
dengan apa yang
telah diturunkan oleh Allah, maka
mereka itulah orang-orang yang zalim.”
Kemampuan manusia
memenuhi keperluan fizikal
atau maddi seperti
makan, minum dan sebagainya
tidak boleh dilihat
sebagai sesuatu yang
sudah mencapai tahap kesempurnaan hakikat kemanusiaannya. Di
sana ada kewajipan dan tanggungjawab lain yang
perlu diberi perhatian
untuk meletakkan manusia
itu sebagai memenuhi
hakikat kemanusiaannya iaitu aspek
rohani. Ini dijelaskan
melalui firman Allah
SWT dalam surah al-Ahzab ayat 72
yang bermaksud:
“Sesungguhnya Kami
(Allah) telah mengemukakan
amanat-amanat (tugastugas) kepada
tujuh petala langit,
bumi dan gunung-ganang, maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu
dan mereka akan khuatir akan mengkhianatinya
dan dipikullah amanat
itu oleh manusia,
sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat jahil.”
Ayat ini
dengan sendirinya menjelaskan
bahawa amanat atau
tanggungjawab yang diletakkan oleh
Allah SWT amat
besar, luas dan
berat untuk dipikul
oleh manusia. Tanggungjawab itu
meliputi hubungan manusia
dengan Allah SWT,
hubungan sesame manusia (termasuk
di dalamnya tanggungjawab
terhadap diri sendiri,
keluarga, masyarakat dan negara)
dan hubungan dengan alam semesta.
Manusia adalah
sebuah keluarga tunggal
daripada Allah SWT
dan tidak ada
ganjaran untuk perbezaan ini
kecuali keimanan dan
ketakwaan. Perbezaan warna
kulit, bangsa, budaya, pangkat,
keturunan, negara dan daerah hanyalah ilusi yang kabur dan jika konsep perbezaan
ini dipegang, ia akan menjadi ancaman terbesar terhadap tamadun manusia di muka
bumi ini. Allah SWT berfirman dalam surah al-Hujurat ayat13 yang bermaksud:
“Wahai manusia!
Sesungguhnya Kami telah
menjadikan kamu dari
lelaki dan perempuan dan
Kami telah jadikan
kamu beberapa bangsa
dan puak supaya kamu
berkenal-kenalan.
Sesungguhnya semulia-mulia kamu
di sisi Allah ialah yang paling
bertakwa di antara kamu.”
Di sini
jelaslah bahawa konsep manusia dan kemanusiaan dalam tamadun Islam dibina atas
asas yang kukuh iaitu takwa kepada Allah SWT. Sehubungan itu, Islam menyifatkan
mana-mana tamadun yang
berlawanan dengan pandangan
semesta di atas
sebagai tamadun yang sakit
dan tergolong dalam
lingkungan tamadun jahiliah
yang membawa kepada kerosakan.
Allah SWT menjelaskan perkara ini melalui firman-Nya
dalam Surah al-Hajj ayat 45-46 yang bermaksud:
“Maka bukan
sedikit negeri-negeri yang
Kami binasakan dengan
sebab kezaliman penduduknya, lalu runtuh ranaplah bangunan-bangunannya;
dan bukan sedikit pula
telaga yang telah
terbiar, istana yang
tersergam (telah kosong,
ditinggalkan). Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di
muka bumi supaya-dengan
melihat kesan-kesan yang
tersebut - mereka menjadi orang-orang
yang ada hati
yang dengannya mereka
dapat memahami, atau ada
telinga yang dengannya
mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah
mereka mengembara pun
tidak juga berguna)
Keranakeadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi
yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada.”
Konsep Alam
Pengertian alam
sangat luas dan
tidak terhad hanya
kepada alam sekitar
semata-mata, tetapi merangkumi alam nyata dan alam ghaib sama ada yang
dapat dilihat dan disentuh oleh
manusia atau sebaliknya.
Bahkan pengertian alam
itu juga merangkumi
diri manusia itu sendiri.
Secara mudahnya, pengertian
alam itu adalah
merujuk kepada segala ciptaan
Allah SWT sama ada
yang boleh dilihat atau tidak dan bersifat baharu.
Manusia berhadapan
dengan beberapa alam
sepanjang kehidupan mereka,
sama ada alam rahim, alam dunia,
alam roh, alam barzakh dan alam akhirat.
Tugas mereka adalah menghidupkan
alam dunia mengikut
acuan yang dikehendaki
Allah SWT sebagai khalifah tidak
lebih daripada itu.
Kemahuan dan kehendak
manusia memikul tanggungjawab sebagai
khalifah telah menyebabkan
mereka diperintah untuk memelihara alam ini agar penduduknya
hidup dalam keadaan rukun dan damai. Firman Allah Taala dalam surah al-Ahzab
ayat 72 yang bermaksud:
“Sesungguhnya
kami bentangkan amanah kepada langit, bumi dan gunung-ganang tetapi
mereka enggan menerima
bahkan gementar untuk menerimanya sebaliknya
manusia sanggup menerima
amanah tersebut sedangkan mereka
itu adalah orang yang zalim lagi jahil.”
Tamadun Islam
melihat alam sebagai
pentas untuk manusia
hidup dan mengkaji
serta mendalamkan pemikiran mereka
bagi mencapai kemuncak
keimanan dan keyakinan kepada penciptanya
iaitu Allah SWT.
Alam sebagai perantara
untuk sampai ke
alam abadi iaitu akhirat
yang menjanjikan syurga
bagi mereka yang
taat perintah-Nya dan neraka
bagi mereka yang
engkar. Selain itu,
penciptaan alam ini
juga adalah untuk diambil manfaatnya oleh manusia dengan
rasa penuh tanggungjawab demi kemaslahatan dan kepentingan hidup mereka. Firman
Allah SWT dalam surah
al-Mulk ayat 3-4 yang bermaksud:
“Dialah yang
telah mengaturkan kejadian
tujuh petala langit
yang berlapis-lapis; engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang
Maha Pemurah itu sebarang
keadaan yang tidak
seimbang dan tidak munasabah; (jika
engkau ragu-ragu) maka
ulangilah pandanganmu dapatkah engkau
melihat sebarang kecacatan?
Kemudian ulangilah pandanganmu berkali-kali,
nescaya pandanganmu itu
akan berbalik kepadamu dengan
hampa (daripada melihat sebarang kecacatan), sedang dia pula berkeadaan lemah
lesu (kerana habis tenaga dengan sia-sia).”
Hubungan
manusia dengan alam ini perlu disandarkan kepada peraturan-peraturan yang telah ditetapkan
oleh Allah SWT.
Manusia hanya perlu
melaksanakan sistem dan peraturan
tersebut untuk membina
dan memperkembangkan tamadun
mereka. Allah SWT yang menjadikan seluruh alam termasuk manusia
mempunyai peraturannya yang tersendiri.
Peraturan itu untuk
kebaikan manusia juga
akhirnya. Jika mereka
menuruT peraturan-Nya,
mereka yang akan
selamat. Sebaliknya, jika
mereka yang enggan menurut peraturan-Nya, mereka akan
menerima kerugian di dunia dan akhirat.
Hubungan Manusia Sesama Manusia
Manusia dijadikan
Allah SWT dengan
latar belakang yang
berbeza dari segi
bangsa, keturunan, warna kulit
dan sebagainya. Walau
bagaimanapun, mereka semua
adalah daripada satu keturunan
iaitu Adam a.s.
Atas hakikat inilah
pembentukan masyarakat Islam adalah
berdasarkan konsep kesatuan
ummah. Ini menjadikan
masyarakat Islam sebagai sebuah
masyarakat yang berbentuk
sejagat, tidak bersifat
perkauman, tidak bersifat kebangsaan
serta tidak terbatas
dalam lingkungan sempadan
geografi dan politik. Bagi
masyarakat Islam, hanya satu ukuran yang mendapat tempat di sisi Allah SWT iaitu
ketakwaan kepada-Nya di
samping berbuat baik
sesama manusia.
No comments:
Post a Comment