Monday, 18 December 2017

PENGENALAN KEPADA STATISTIK SAINS SOSIAL

1.1 PENGENALAN

Melalui penelitian dan pemerhatian terhadap segala kejadian yang terdapat di sekeliling dan persekitaran kita, kita perlu menyedari bahawa sesungguhnya Tuhan telah menjadikan berbagai-bagai bentuk kejadian di dunia ini. Tambahan pula kepelbagaian kejadian ini, daripada yang sekecil-kecilnya sehinggalah yang sebesar-besarnya, samaada secara sedar atau tidak, wujud dalam kehidupan manusia dan persekitarannya. Lihatlah pelbagai jenis dan rupa tumbuh-tumbuhan yang dijadikan Tuhan, daripada yang tumbuh melata di bumi hinggalah kepada tumbuh-tumbuhan yang gagah berdiri.
Kesemua kejadian ini sebenarnya berguna kepada mereka yang ingin mengetahui, menyelidik dan seterusnya menganalisisnya. Tingkah laku manusia, sama ada yangterlahir dan dapat dilihat ataupun
tingkah laku yang terpendam, sudah tentu dipengaruhi dan ditentukan oleh sesuatu yang lain. Oleh sebab itu, kita sering memikirkan bahawa dalam banyak keadaan, sesuatu tingkah  laku secara umumnya mempunyai hubungan dengan tingkah laku yang lain. Begitu juga halnya dengan perkaraperkara lain. Ia mempunyai jalinan hubungan dengan benda yang lain pula.
Keadaan inilah yang menjadi tumpuan dan minat ahli statistik untuk cuba menguji dan memperihalkan kepelbagaian, keseragaman dan saling berhubungan antara tingkah laku manusia, kejadian dan objek yang terdapat dalam persekitaran kehidupan manusia.

1.2 ANALISIS STATISTIK

Untuk membolehkan kita menguji dan memperihalkan kepelbagaian kejadian dan tingkah laku yang dilihat dan dialami, ahli ilmu telah mencipta satu sistem pemerihalan dengan menggunakan data dan maklumat. Data dan maklumat yang diperoleh diterjemahkan atau ditukar ke bentuk angka atau nombor. Angka digunakan kerana manusia diandaikan sering berhadapan dan menggunakan nombor dalam kebanyakan aktiviti hidupnya. Sebagai contoh, seorang pelajar  beragama Islam yang mempunyai pengurusan masa yang baik sudah tentu menetapkan aktiviti hariannya mengikut waktu-waktu yang telah dirancang. Dia telah menetapkan waktu bangun tidurnya pada pukul 5.30 pagi untuk membuat persiapan sembahyang subuh yang biasa dilakukan dalam lingkungan pukul 6.00 pagi.
Selepas itu, dia memperuntukkan pula masa selama 1 jam 15 minit untuk mengulang kaji pelajaran mulai jam 6.15 pagi hingga 7.30 pagi. Dia melakukan perbuatan dan tingkah laku ini kerana menyedari bahawa waktu selepas subuh ialah waktu yang mendatangkan barakah. Aktiviti harian seterusnya berjalan mengikut jadual masa yang telah ditetapkan.
Wang biasiswa atau pinjaman yang diperolehnya diagihkan mengikut keperluannya sebagai seorang pelajar. Misalnya dia memperuntukkan 30 dan 40 peratus untuk tujuan pengajian dan pembelajaran. Sebanyak 35 hingga 40 peratus diperuntukkan bagi keperluan makanan dan hariannya manakala
sebanyak 10 hingga 15 peratus sahaja diperuntukkan untuk membeli pakaian. Dia bertekad dan berazam untuk tidak membuat sebarang peruntukan kepada aktiviti berfoya-foya dan berpesta. Statistik merupakan suatu teknik, metode, tatacara dan sistem untuk meneliti, menganalisis, memahami dan seterusnya memperihalkan contoh dan maklumat yang diberikan di atas. Analisis statistik yang dibincangkan di dalam modul ini merupakan teknik dan metode untuk memahami data,
meringkaskannya, membuat analisis dan seterusnya memperihalkan pelbagai jenis data yang diperoleh dalam bentuk yang mudah difahami. Perkataan statistik kadangkala merujuk kepada sesuatu angka yang boleh menggambarkan kumpulan data dan maklumat.
1.3 STATISTIK DALAM PENYELIDIKAN
Penyelidikan seharusnya dibuat secara sistematik, empiris dan saintifik. Untuk mencapai matlamat tersebut, penyelidik sepatutnya mampu mempastikan data, maklumat dan fakta yang diperoleh adalah benar, boleh dipercayai dan sah. Dengan cara demikian, keputusan yangdilaporkan boleh diakui jitu. Penyelidikan saintifik perlu memastikan bahawa pengulangan kajian yang dijalankan untuk mengesan dan mengesahkan kajian yang terdahulu berjaya memperolehi keputusan yang sama jika ia benar. Semakin banyak kajian ulangan dibuat, akan semakin bertambahlah keyakinan kita terhadap keputusan kajian dan saranan yang diberi untuk menyelesaikan sesuatu masalah yang telah dikaji. Data, maklumat dan fakta yang dikumpul dalam sesuatu penyelidikan bertujuan untuk menjawab isu yang dinyatakan dalam permasalahan dan pernyataan kajian. Penyelidik mestilah memulakan tugas analisis dengan menentukan dan memilih beberapa metode analisis statistik yang sesuai. metode yang dipilih pula seharusnya mampu memperoleh keputusan yang dapat menjawab permasalahan dan tujuan kajian yang dibina. Justeru itu, tidak dapat dinafikan bahawa memiliki ilmu yang mendalam terhadap metode dan teknik analisis statistik adalah penting dalam penyelidikan.

1.4  STATISTIK DESKRIPTIF DAN INFERENS

Secara umum analisis statistik dapat dibahagikan kepada dua bentuk, iaitu analisis deskriptif dan analisis inferens. Analisis deskriptif biasanya digunakan untuk memperihalkan keadaan data yang terdapat pada sampel kajian. Pemerihalannya terhad kepada sampel sahaja dan tidak digunakan untuk membuat sesuatu kesimpulan atau generalisasi menyeluruh kepada populasi yang dikaji. Sesetengah ahlistatistik menyatakan bahawa ilmu statistik deskriptif hanyalah seperti hujung aisberg yang timbul di permukaan lautan. Meskipun ia kecil, tetapi ia memberi sumbangan yang penting dan bermakna dalam proses analisis data.
Apabila data dan maklumat yang diperoleh daripada sampel digunakan untuk tujuan membuat generalisasi kepada populasi di mana sampel itu dipilih, metode analisis statistik tersebut dinamakan sebanyak statistik inferens. Data dan maklumat yang diperoleh yang sifatnya boleh dilihat seperti hujung aisbergitu dijadikan anggaran yang dapat memperihalkan data dan maklumat lebih besar yang tidak kelihatan. Teknik analisis inferens menggunakan konsep dan hukum kebarangkalian. Untuk menjamin generalisasi dan kesimpulan ini tepat, beberapa tatacara kebarangkalian perlu diikuti agar pemerihalan terhadap populasi besar yang kadangkala sifatnya sejagat dapat diyakini meskipun kitahanya menggunakan data daripada sampel kajian.

1.5  KESAHAN DALAMAN

Kesahan dalaman merujuk kepada setakat mana kenyataan keputusan kajian yang berkait dengan pemboleh ubah yang dikaji boleh dipertahankan. Penyelidikan yang mempunyai kesahan dalaman yang baik ialah apabila keputusan yang diperoleh menjadi hasil sumbangan jitu pemboleh ubah bebas yang dikaji dan tidak dipengaruhi oleh pemboleh ubah luar yang lain. Kesahan dalaman boleh dicapai jika penyelidik dapat mengadakan kawalan terhadap pemboleh ubah luar yang mungkin mempengaruhi keputusan kajian. Kawalan membolehkan hanya satu pemboleh ubah bebas yang mempunyai peluang untuk berubah dalam satu-satu masa. Dengan cara ini, penyelidik boleh menyakinkan pengguna bahawa perubahan dalam pemboleh ubah terikat adalah hasil daripada perubahan dalam pemboleh ubah bebas tersebut.

1.6 KESAHAN LUARAN

Kesahan luaran merujuk kepada setakat mana sampel kajian yang dicabut daripada populasi dapat mewakili populasi yang dikaji. Oleh sebab itu, beberapa metode persampelan yang baik perlu digunakan dalam proses memilih sampel. Pemilihan secara rawak yang sebenar merupakan metode yang terbaik. Metode ini dapat mempastikan setiap individu dalam populasi mempunyai peluang yang sama terpilih sebagai sampel.

1.7  KONSEP UTAMA DALAM STATISTIK

Antara beberapa konsep dan terminilogi asas yang perlu diketengahkan di peringkat awal pembelajaran statistik ialah

1.7.1 Pemboleh Ubah
Pemboleh ubah merujuk kepada sebarang objek atau fenomena yang sifatnya boleh berubah. Beberapa ciri yang terdapatpada manusia, persekitaran dan situasi uji kaji boleh berubah-ubah daripada seorang individu kepada individu lain ataupun berubah daripada sesuatu persekitaran kepada persekitaran lain yang berbeza. Kesemua fenomena ini ialah pemboleh ubah. Jantina, berat badan, keupayaan mental, nilai dan kepercayaan ialah pembolehubahan yang terdapat pada manusia. Berat badan misalnya mempunyai kepelbagaian nilai.

1.7.2 Populasi
Populasi merujuk kepada keseluruhan set individu, objek, benda atau fenomena yang mempunyai ciri-ciri  kesamaan. Keseluruhan penduduk Malaysia dikatakan sebagai populasi Malaysia. la merupakan satu set individu yang tinggal dalam suatu kawasan geografi. Keseluruhan manusia yang tinggal di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ialah populasi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan seluruh pelajar semester pertama di universiti ialah populasi pelajar semester pertama.

1.7.3 Parameter
Parameter merujuk kepadanilai yang menggambarkan ciri-ciri populasi. Dalam kebanyakan buku statistik, parameter populasi ditulis dengan huruf Greek. Contohnya huruf µ (sebutannya ialah mew) ialah parameter kepada purata atau min populasi.

1.7.4 Sampel
Sampel ialah sebahagian daripadapopulasi yang dipilih dengan menggunakan suatu metode pemilihan sampel. Sampel yang dikatakan baik ialah apabila ia dipilih secara rawak, mempunyai ciri-ciri populasi dan mewakili populasi tempat sampel itu dipilih.

1.7.5 Statistik
Statistik ialah nilai yang terdapat padasampel. Selalunya, ia merupakan hasil manipulasi kepada data atau hasil analisis. Pensyarah yang berminat untuk mengetahui tahap pencapaian prestasi pelajar semester pertama dalam kursus Pengantar Statistik mungkin memadai dengan mengira purata atau min markat Pengantar Statistik semua pelajar semester pertama kumpulan atau kelas yang diajarnya. Purata atau min pencapaian prestasi pelajar ialah statistik yang diperoleh daripadasampel darjahnya sahaja.

1.7.6  Pemboleh Ubah Bebas dan Pemboleh Ubah Terikat
Pemboleh ubah yang mempengaruhi atau memberi kesan kepada sesuatu pemboleh ubah yang lain dikatakan sebagai pemboleh ubah bebas. Dalam banyak keadaan pemboleh ubah bebas boleh dan sengaja dimanipulasi oleh penyelidik supaya dapat memberi kesan atau pengaruh yang berbeza-beza. Pemboleh ubah terikat pula merujuk kepada sebarang pemboleh ubah yang dipengaruhi oleh pemboleh ubah bebas. Kebiasaannya, pemboleh ubah terikatlah yang menjadi minat penyelidik untuk mempastikan secara tepat kesan dan pengaruh pemboleh ubah bebas terhadap pemboleh ubah terikat.

1.7.7  Pemboleh Ubah Kualitatif dan Pemboleh Ubah Kuantitatif
Pemboleh ubah kualitatif ialah pemboleh ubah yang mempunyai ciri saling eksklusif dan mempunyai subkelas. Pemboleh ubah bangsa contohnya mempunyai subkelas atau subbangsa seperti Melayu, Cina, India, Nasrani dan lain-lain. Setiap satu subbangsa adalah eksklusif. la hanya boleh berlaku dalam satu subkumpulan sahaja. Jantina ialah pemboleh ubah kualitatif yang terdiri daripada dua jenis, lelaki dan perempuan. Pemboleh ubah kuantitatif ialah pemboleh ubah yang di dalamnya terkandung nilai angka yang menunjukkan sifat yang berhubung dengan objek pemboleh ubah tersebut. Contohnya, jumlah hari seseorang pelajar tidak hadir kelas, markat dalam sesuatu kursus, umur kematian dan lain-lain. Pemboleh ubah kuantitatif boleh juga dibahagikan kepada jenis diskrit dan selanjar.

1.8  KESIMPULAN
Terdapat beberapa konseppenting dalam statistik sains sosial terutamanya yang berkaitan dengan analisis data penyelidikan dalam bidang yang ada kaitan dengan sains sosial, psikologi dan pendidikan. Oleh itu, kita perlu memahami beberapa jenis pemboleh ubah kerana daripada pemboleh ubah itulah terdapatnya maklumat dan data yang perlu dianalisis dengan metode yang sesuai dan tepat supaya dapat menjawab objektif dan matlamat akhir kajian. Modul ini akan lebih menekankan kepada analisis data secara kuantitatif.


Rujukan:
1.  Capon, J.A. (1988). Elementary statistics for the social sciences. Pacific Grove, CA: Wadsworth Thomson Learning.

2.      Cochran, W.G. (1954). Some methods for strengthening the common χ2 tests. Biometrics, 10, 417-451.

3.      Cochran, W.G. & Cox, G.M. (1957). Experimental design. New York: John Wiley & Sons.

4.      Pagano, R.R. (2001). Understanding statistics in the behavioral sciences. Belmont, California: Wadsworth Thompson Learning.

5.    Satterthwaite, F.W. (1946). An approxiamate distribution of estimates of variance components. Biometrics, 2,110-114.

6.  Welkowitz, J., Ewen, R.B.& Cohen, J. (1988). Introductory statistics for the behavioral sciences. New York: Harcourt Brace Jovanovich.

2 comments:

  1. Saya ingin bertanya, taraf kesihatan penduduk itu pembolehubah kuantitatif atau pembolehubah kualitatif

    ReplyDelete